Tampilkan postingan dengan label bekas. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label bekas. Tampilkan semua postingan

Senin, 10 Maret 2014

Bekas Guru Terkilan Diberhentikan Kerja


PERAI – Seorang bekas guru kecewa selepas mendakwa ditamatkan perkhidmatan tanpa dipanggil untuk membela diri di atas tindakannya menyambung pelajaran di peringkat ijazah di sebuah universiti.

Ismail Omar, 57, berkata, lebih menyedihkan lagi apabila dia diberhentikan kerja ketika perkhidmatannya sebagai guru berbaki hanya setahun sebelum berpencen.

“Saya terkilan dikenakan tindakan tatatertib dan diberhentikan kerja sebagai guru ketika hampir pencen, sedangkan sudah berkhidmat selama 30 tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tun Hussin Onn di sini.

Ismail berkata, kerana hukuman itu dia kehilangan segala hak dan faedah termasuk pencen, selain seolah-olah melakukan satu kesilapan besar walhal dia hanya menyambung pelajaran.

Menurutnya, dia memohon cuti untuk menyambung pelajaran dengan bergaji penuh, selain mendakwa mengikut segala peraturan ditetapkan.

“Selepas 10 bulan mengikuti kuliah, saya diberitahu permohonan untuk bercuti bagi menyambung pelajaran tidak diluluskan dan perlu kembali menyambung tugas.

“Saya mengikut arahan yang diberikan dan berhenti belajar sebelum menyambung semula tugas sebagai guru,” katanya.

Ismail mendakwa, selain tidak menerima gaji, dia dikatakan berhutang kepada kerajaan serta diminta membayar hutang berjumlah RM22,279.

“Sudahlah saya tidak menerima gaji, malah disuruh membayar hutang pula dan saya tidak mempunyai wang simpanan lagi,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa memohon pertukaran sekolah yang berhampiran dengan rumahnya di Seberang Jaya kerana tanpa gaji, dia tidak mampu untuk berulang alik ke sekolah di Bayan Baru.

“Permohonan saya berjaya dan saya bertugas seperti biasa selain turut mendapat gaji seperti sebelum ini, namun saya terkejut apabila diberi surat diberhentikan kerja pada Disember 2011,” katanya.

Dia yang kecewa berasa teraniaya selain berharap pihak terlibat dapat menilai kembali konflik yang dihadapi kerana masih perlu menyara isterinya yang menghidap strok dan dua anaknya masih belajar.

“Saya sudah tidak tahu untuk mengadu kepada siapa dan jalan terakhir adalah dengan meminta bantuan media,” katanya yang terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menyara keluarga.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pulau Pinang Ahmad Tarmizi Kamaruddin ketika dihubungi berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sudah mengambil tindakan itu kerana Ismail tidak mengikut prosedur yang betul sebagai penjawat awam.

Katanya, Ismail diberhentikan dengan cara yang betul selepas siasatan yang dijalankan SPP yang mendapati dia telah ingkar.

“Bukan senang untuk memberhentikan seorang penjawat awam sekiranya tidak membuat kesalahan namun kita mendapati, dia telah ingkar terhadap tanggungjawabnya,” katanya. – Sinar Harian

Read More..

Selasa, 24 Desember 2013

Bekas pemain ragbi Britain kalah kes untuk mati


Bekas pemain ragbi Britain kalah kes untuk mati
Tony Nicklinson kelihatan menangis apabila mengetahui keputusan mahkamah menolak permohonannya. - Foto ihsan irishtimes.com
Bekas pemain ragbi Britain kalah kes untuk mati
Tony Nicklinson yang memfailkan permohonan untuk menamatkan hidupnya. - Foto ihsan CNN
LONDON - Seorang lelaki British, yang lumpuh dari leher hingga ke bahagian bawah ekoran strok tujuh tahun lalu, kalah dalam permohonan untuk mendapatkan hak untuk mengakhiri hidupnya.

Semalam, Mahkamah Tinggi London menolak permohonan yang dibuat oleh Tony Nicklinson, 58, untuk mati mengikut masa dan tarikh pilihannya.

Dia memohon hak dari segi perundangan untuk mendapatkan seorang doktor yang boleh menamatkan nyawanya tanpa pegawai perubatan yang bakal dipilihnya itu dikenakan didakwa.

Laporan CNN menyebut bahawa sejak mengalami strok pada 2005, Nicklinson, seorang bekas pemain ragbi, berhadapan dengan sindrom locked-in.

Sindrom locked-in merujuk kepada satu keadaan di mana seorang pesakit sedar dan terjaga tetapi tidak boleh bergerak atau berinteraksi secara lisan ekoran keadaan lumpuh penuh yang dialaminya.

Mahkamah juga menolak kes yang serupa dibawa oleh seorang lagi lelaki yang berhadapan dengan sindrom locked-in. Pemohon kedua itu hanya dikenali sebagai Martin, berusia 47 tahun.

"Mahkamah iktiraf kes-kes yang bersangkutan dengan isu-isu etika, sosial dan perundangan yang sukar, tetapi mendapati bahawa sebarang pindaan ke atas undang-undang menjadi urusan Parlimen untuk putuskan," kata kenyataan mahkamah.

Tiga hakim yang mendengar kedua-dua kes itu menyifatkan situasi dialami mereka sebagai sesuatu yang "tragis."

Keputusan itu mengecewakan Nicklinson, yang menitiskan air mata.

Isterinya, Jane memberitahu media bahwa keluargarnya "sangat kecewa" dan akan memfailkan rayuan.

"Anda boleh lihat sendiri reaksi Tony yang sangat kecewa," kata Jane dipetik portalirishtimes.com.

Dalam kenyataan dibuat menerusi komputernya, Nicklinson berkata: "Itu bukan keputusan yang saya harapkan. Ia sama sekali (sesuatu yang) saya tidak menjangkakan."

"Hakim, seperti juga ahli politik, adalah pihak yang bergembira apabila mereka dapat mengelak daripada berhadapan dengan isu-isu yang sebenar. "Penghakiman ini bukan sesuatu yang terkecuali (daripada hakikat sebenar)," katanya lagi.

Dia seterusnya menulis, "saya percaya pasukan guaman saya yang bertindak bagi pihak saya bersedia untuk berjuang habis-habisan, tetapi malangnya bagi saya, ini satu lagi situasi fizikal yang tidak selesa bagi diri saya."

Anak-anak perempuannya menulis menerusi Twitter menggesa orang ramai memulakan petisyen menyokong hak untuk mati dengan penuh maruah.

Dalam tempoh  beberapa jam seramai lebih 2,200 orang melahirkan sokongan kepadanya.

Jane berkata, suaminya tidak berhasrat untuk ke Switzerland, negara yang ada undang-undang bunuh diri.

Katanya, selain mahal, dia berpandangan bahawa suaminya tidak harus ke luar negara untuk menamatkan hidupnya.
sumber : sinar harian
borak kosong
Read More..