Tampilkan postingan dengan label sarawak. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label sarawak. Tampilkan semua postingan

Kamis, 20 Februari 2014

Sambutan Ulang Tahun Ke 92 TYT Sarawak Meriah



KUCHING – Istiadat perbarisan sempena ulang tahun ke-92 Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng berlangsung meriah dengan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri Stadium Negeri, Petra Jaya di sini hari ini.

Ketibaan Yang Dipertua Negeri bersama isteri Toh Puan Norkiah Abdullah disambut Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, menteri yang bertanggungjawab bagi acara itu Datuk Seri Wong Soon Koh, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan anggota jawatankuasa sambutan lain.

Sebanyak 92 kontinjen simbolik sempena ulang tahun ke-92, membabitkan 4,000 anggota berpakaian seragam, kontinjen berpakaian biasa dan penghibur, daripada pelbagai agensi dan jabatan terlibat dalam istiadat perbarisan tahun ini.

Abang Muhammad Salahuddin kemudiannya memeriksa pasukan kawalan kehormatan utama, sebelum menaiki kenderaan khas diiringi ketua menteri dan Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar melakukan pemeriksaan kontinjen yang terbabit.

Selain istiadat perbarisan dan laungan Dirgahayu diketuai Ketua Perbarisan Mejar Donny Ulak, turut diadakan acara persembahan padang iaitu tarian dan nyanyian sebagai kemuncak sambutan kali ini.

Sementara itu Taib dalam amanatnya menyeru semua rakyat Sarawak agar bekerjasama memantapkan lagi ekonomi negeri itu untuk tempoh 50 tahun akan datang, selepas kejayaan dicapai sejak menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963.

Beliau berkata keputusan Sarawak menyertai Malaysia nyata membawa kehidupan lebih baik kepada penduduk negeri itu berbanding ketika mereka di bawah penjajah dahulu.

“Selepas kita menyaksikan kejayaan yang dicapai dalam tempoh 50 tahun ini, kini kita perlu memberi tumpuan kepada perubahan bentuk ekonomi baharu negeri demi memastikan ekonomi negeri ini berkembang dengan baik agar sasaran untuk menjadi negara maju pada 2020 tercapai,” katanya.

Majlis sambutan diteruskan dengan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak dan malam ini berlangsung Majlis Jamuan Negeri. Kedua-dua majlis itu diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya. – BERNAMA
Read More..